Wajib bantah ratifikasi ICERD - Utusan Malaysia

Wajib bantah ratifikasi ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Rakyat mesti membantah usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang terang-terangan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pengasas Malaysian Lawyers Circle (MLC), Lukman Sheriff Alias berkata, mengikut ICERD, negara yang meratifikasi perlu menghapuskan segala bentuk diskriminasi termasuk undang-undang yang bersifat sedemikian terhadap kaum lain.

Beliau menjelaskan, maksud dan skop ICERD bertentang dengan Perkara 153 dan 89 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kedudukan istimewa kepada orang Melayu dan bumiputera, sedangkan perkara tersebut adalah hasil kompromi ketika pembentukan Malaysia.

“Jadi sekiranya ICERD diratifikasikan maka Majlis Amanah Rakyat (Mara), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hendaklah ditutup, tanah simpanan Melayu hendaklah dihapuskan, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) merupakan satu diskriminasi, biasiswa untuk bumiputera hendaklah dihapuskan.

“Perundingan awam perlu dilakukan dengan segera dan perkenan Majlis Raja-Raja perlu diperoleh. Raja-raja tidak boleh dibelakangkan. Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda sebelum ratifikasi ICERD boleh dilakukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Lukman Sheriff menambah, mengikut Artikel 5 ICERD, negara yang meratifikasi hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi dalam pelaksanaan hak politik dan ini bermakna parti politik berdasarkan kaum adalah salah dan perlu dihapuskan.

Sebagai contoh, beliau yang juga Exco Majlis Peguam menjelaskan, Pusat Komunikasi Hak Asasi Manusia (Komas) yang juga ahli Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) telah menyenaraikan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai satu ‘insiden’ dalam Laporan Diskriminasi Perkauman Malaysia 2016.

“Artikel 20 ICERD juga mela­rang pengecualian ataupun ‘re­servation’ yang bercanggah dengan objektif dan tujuan ICERD. Malaysia bukan sahaja memerlukan pengecualian bahagian definisi tetapi lebih separuh daripada peruntukan teras ICERD. Ini adalah bertentangan dengan tujuan ICERD dan boleh dibantah oleh negara lain,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN