KLANG 27 Okt. – Dalam mendidik masyarakat tentang kaedah asas berkenaan bantuan awal ketika kecemasan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), bahagian Klang menganjurkan Program ‘Volunteers On Wheels’.
Presidennya, Datuk Song Kee Chai berkata, sebanyak tujuh pasukan terlibat dengan program tersebut yang mana kesemua sukarelawan akan menunggang basikal masing-masing dilengkapi dengan peralatan pertolongan cemas.
Katanya, sukarelawan terlibat akan membawa basikal untuk turun padang ke rumah kebajikan dan orang tua serta perkampungan dalam memberi bantuan dan mengajar cara-cara memberi pertolongan ketika berada dalam kecemasan.
“Kita berterima kasih kepada Persatuan Palang Bulan Sabit Merah China yang mendermakan 500 buah basikal untuk diagihkan di setiap negeri selain memilih Klang untuk majlis perasmian.
“Melalui program ini, secara tidak langsung orang ramai memperoleh maklumat dan kemahiran asas jika berlaku situasi kecemasan seperti terbakar, tercekik dan lain-lain.
“Malah, kita juga akan memberi perkhidmatan dengan memberikan rawatan untuk luka-luka kecil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Volunteers On Wheels’ di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Eksekutif Persatuan Palang Bulan Sabit Merah China, Li Baofeng dan Bendahari Kehormat Kebangsaan PBSM Malaysia, Hakim Hamzah. – UTUSAN ONLINE










