LONDON 30 Okt. – Tom Meighan yang merupakan vokalis kumpulan rock terkemuka British, Kasabian antara penyokong terkenal Leicester hadir ke Stadium King Power untuk memberikan penghormatan kepada pemiliknya, Vichai Srivaddhanaprabha.
Srivaddhanaprabha bersama empat lagi penumpang maut dalam satu kemalangan selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas di luar stadium setelah menyaksikan perlawanan Leicester menentang West Ham yang berkesudahan seri 1-1, Sabtu lalu.
“Saya fikir kehadiran saya ke sini kerana mahu memberi penghormatan kepada lelaki yang telah menyelamatkan kelab kami, membebaskan kami daripada hutang dan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya berasa kosong ketika ini. Saya tidak dapat menzahirkan perasan ketika ini. Sangat menakutkan.
“Saya masih ingat lagi ketika bertemu dengannya, saya pernah berjumpa mendiang beberapa kali. Kami pernah bermain bola sepak di sini sebanyak dua kali. Saya juga pernah berjumpa dengannya di atas pentas dan berkata helo dan dia memeluk saya. Kenangan yang menakjubkan namun perasaan itu sudah mati.
“Saya fikir Leicester City akan berasa seperti mati dalam beberapa minit dan kami memerlukan masa yang lama untuk pulih,” katanya.
Ribuan penyokong hadir ke stadium bagi memberi penghormatan terakhir mereka kepada pemilik kelab itu dengan meletakkan bunga serta baju dan skaf Leicester. – AGENSI










