ALOR SETAR 21 Okt. – Tujuh lelaki dipercayai anggota ‘Geng 36 Kuala Ketil’ direman selama 21 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan terhadap kes membabitkan jenayah kekerasan dan gengsterisme di beberapa daerah dalam negeri ini, sejak lebih dua tahun lalu.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret, Azman Abu Hassan di Mahkamah Sesyen, dekat sini setelah menerima permohonan daripada pihak polis.
Sumber memaklumkan, kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 39 tahun ditahan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah semalam.
Dua daripada mereka ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim manakala lima lagi di IPD Kuala Muda antara pukul 2.30 petang hingga 6.30 petang.
“Mereka dipercayai terlibat dalam beberapa kegiatan jenayah membabitkan kekerasan dan gengsterisme di Kuala Muda, Baling dan Kulim sejak Mei 2016,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alatrash Wahid berkata, ketujuh-tujuh suspek kini ditahan di lokap IPD Pendang.
“Perintah tahanan reman itu dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya. – UTUSAN ONLINE










