KUALA LUMPUR 21 Okt. – Cameron Highlands didakwa tidak lagi selamat untuk pelancong sekiranya aktiviti penerokaan dan pembalakan haram masih berleluasa.
Pakar di Pusat Kawalan dan Persediaan Bencana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Razak berkata, mengikut kajian tahap daya tahan bencana yang dijalankan, kawasan-kawasan bahaya di Cameron Highlands amat berpotensi tinggi untuk meningkatkan kadar risiko bencana pada masa hadapan.
“Cameron Highlands mungkin tidak lagi selamat untuk para pelancong dan penggemar percutian lokasi tanah tinggi sekiranya penerokaan haram menjadi salah satu sebab utama berlakunya bencana ditambah lagi dengan perubahan iklim, kadar aliran air hujan di kawasan pertanian berbukit dan sistem pertanian yang tidak mesra alam sekitar.
“Dengan kesesakan lalu lintas saban minggu, penggunaan baja yang berlebihan (atas desakan permintaan) serta tahap kesiapsagaan bencana yang rendah akan menimbulkan kesangsian terhadap pelabur-pelabur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang menunjukkan penerokaan tanah di Cameron Highlands kini semakin parah dan berada pada tahap membimbangkan.
Jelas Khamarrul Azahari, kejadian bencana tanah runtuh dan banjir lumpur pada 2013 dan 2014 di Cameron Highlands merekodkan penurunan jumlah pelancong sebanyak 18 peratus.
“Ini sedikit sebanyak merugikan peniaga dan pengusaha resort di kawasan tanah tinggi. Para pelancong dan pelawat luar mungkin terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh dengan ketiadaan sistem amaran awal, penyebaran dan perkongsian maklumat peta risiko dan program kesiapsiagaan yang berterusan.
“Malah ia juga memberi impak negatif secara langsung terhadap sosial, ekonomi dan alam sekitar dalam jangka masa panjang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, sektor pelancongan negara akan terjejas sekiranya pihak berkuasa tidak memantau aktiviti penerokaan haram di Cameron Highlands.
“Kita risau sekiranya tiada pemantauan, kemungkinan Cameron Highlands tidak akan disenaraikan dalam itinerari ejen pelancongan bagi pasaran dunia.
“Kira-kira 740,000 pelancong melawat Cameron Highlands setiap tahun dan ini akan merugikan sektor pelancongan negara,” katanya.











