SHAH ALAM 4 Okt. – Semua prosedur operasi standard (SOP) telah dipatuhi Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lemas di sebuah lombong di Taman Bukit Perdana, Puchong malam tadi.
Bagaimanapun operasi SAR di kawasan lombong itu bertukar tragedi apabila meragut nyawa enam anggota PPDA yang terlibat.
Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, operasi SAR diteruskan walaupun keadaan gelap kerana pasukan PPDA mendapati air tidak dalam iaitu hanya paras dada dan kaedah yang SAR gunakan adalah menggunakan teknik rantaian anggota di permukaan dan mereka juga dilengkapkan dengan peralatan menyelamat.
Bagaimanapun ujar beliau, tragedi yang berlaku adalah sesuatu yang cukup mendukacitakan buat JBPM dan pihaknya akan mengkaji semula taktikal SOP sedia ada bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.
“Semakan kita mendapati dari segi SOP dan strategi mereka telah patuhi. Kalau kerja-kerja yang dirancang, memang kita boleh hentikan tetapi bagi kerja-kerja yang melibatkan nyawa orang (remaja yang lemas) yang sedang dicari, kita perlu melihat keadaan. Kalau keadaan mengizinkan kita buat juga kerja pada waktu malam.
“Selalu orang mempersoalkan kenapa perlu menyelam ketika waktu malam tetapi kita tidak menyelam, kita membuat ‘surface water rescue’ (menyelamat pada permukaan air) kerana air tidak dalam, hanya paras dada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas upacara solat jenazah dan penghormatan terakhir kepada enam anggota PPDA itu di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, di sini hari ini.
Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, manakala dua lagi mangsa dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Kesemua jenazah kemudiannya dibawa ke kampung halaman masing-masing selepas selesai penghormatan terakhir untuk dikebumikan iaitu di Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Sarawak dan Sabah.
Dalam pada itu, Mohammad Hamdan menjelaskan, siasatan awal di tempat kejadian mendapati ia adalah kawasan untuk pengawalan air banjir dan tidak sesuai untuk sebarang aktiviti rekreasi.
Jelasnya, operasi SAR dilakukan di kaki terjunan air kerana mangsa yang dicari mungkin berada di situ namun ketika menuju ke arah terjunan air tersebut arus di bawah kuat dan difahamkan mereka mungkin terpijak batu-batu yang diletak untuk memecahkan air.
“Disebabkan arus bawah kuat, seorang daripada mereka tergelincir diikuti yang lain sebab mereka buat kaedah rantaian anggota bersama peralatan masing-masing. Mereka berada di dalam air kira-kira 10 minit dan apabila dibawa naik ke tebing kita terus beri bantuan pernafasan (CPR), namun mereka tidak dapat diselamatkan.
“Kita dapati air tidak dalam tetapi deras disebabkan hujan lebat petang semalam, apapun kita akan jalankan satu lagi siasatan dalaman secara terperinci,” katanya.










