KUALA TERENGGANU 26 Okt. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan yang beliau tidak akan berganjak daripada menggalas tanggungjawabnya sebagai Presiden UMNO.
Video MEDIA SOSIAL
Tegas bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau juga tidak akan tunduk kepada desakan atau gesaan mana-mana pihak supaya beliau mengambil cuti seketika sehingga kes pertuduhan terhadapnya di mahkamah selesai.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak akan mengalah, malah menganggapnya sebagai bukan satu pilihan, sebaliknya mengambil keputusan untuk meneruskan tugas sebagai Presiden UMNO bersama-sama barisan kepemimpinan tertinggi parti.
Beliau telah meneliti kenyataan akhbar yang dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan berpendapat perkara itu tidak sepatutnya dibuat menerusi media, sebaliknya perlu dibawa berbincang terlebih dahulu.
“Saya reda dengan apa yang sedang dilakukan, tetapi bila keadaan ini berlaku dan ada cadangan untuk saya ambil cuti, dalam erti kata lain untuk berundur, saya tidak anggap ia adalah satu option (pilihan).
“Mengalah bukan satu option dan saya ambil keputusan untuk teruskan tugas sebagai Presiden UMNO bersama-sama dengan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan lain-lain serta kepemimpinan sayap parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas mengadakan perjumpaan khas bersama kepemimpinan UMNO Terengganu di Bangunan UMNO Kuala Terengganu sempena lawatan sehari beliau ke negeri ini hari ini.
Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa serta kepemimpinan UMNO Pusat dan negeri.
Ahmad Zahid berkata, hala tuju politik UMNO menentukan perpaduan dalam kalangan pemimpin parti itu dan daripada mandat yang diberi, beliau berjanji untuk meneruskan khidmatnya sebagai Presiden UMNO sehingga tamat penggal.
Ini kerana jelasnya, wujud pemilihan dalam parti itu yang lazimnya ditentukan dalam Perhimpunan Agung UMNO mengenai kedudukan seseorang pemimpin yang memegang sesuatu jawatan dalam parti.










