KUALA TERENGGANU 25 Okt. – Sekurang-kurangnya lima penyokong dilaporkan pengsan, seorang daripadanya dikejarkan ke hospital ketika dalam keadaan bersesak, berebut-rebut mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia semasa kaunter jualan dibuka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pagi ini.
Namun dalam keadaan sedemikian, ramai yang hampa setelah tiket habis dijual dalam tempoh sejam selepas kaunter dibuka kira-kira pukul 10.30 pagi apabila dikatakan cuma 2,000 tiket dijual di stadium berkenaan pada hari ini.
Sehingga tengah hari, dalam keadaan panas terik, kira-kira 100 orang penyokong yang gagal mendapatkan tiket masih terus berbaris, dan kelihatan enggan berganjak awalnya walaupun cuba disuraikan oleh pihak polis.
Namun mereka kemudiannya beralih menunggu di pekarangan pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di stadium berkenaan dengan harapan masih berpeluang mendapatkannya kelak.
Sebilangan daripada penyokong tegar bermalam di pinggir stadium malam tadi untuk mengelak daripada terlepas peluang mendapat tiket bagi menyaksikan aksi skuad Terengganu FC (TFC) di Shah Alam Sabtu ini.
Terengganu diperuntukkan 30,000 tiket keseluruhannya namun selain di Kuala Terengganu, pihak pengurusan PBSNT kemudiannya membuat keputusan untuk turut mengagihkannya melalui persatuan bola sepak di setiap daerah bagi mengelak seluruh tumpuan di sini.
Di samping itu, 10,000 tiket dikhaskan kepada kelab-kelab penyokong bola sepak yang menyebabkan jualan tiket di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah cukup terhad. – UTUSAN ONLINE










