KUALA LUMPUR 28 Okt.- Seorang penunggang motosikal cedera selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan di Jalan Pahang di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang merupakan warga India mengalami kecederaan di siku, lutut, tangan dan kaki kirinya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal dari Pandan Jaya menghala ke Setapak melalui kawasan terbabit.
Ujarnya, setiba di Jalan Pahang, seorang pemandu kenderaan SUV memotong terlalu rapat lalu bergesel dengan motosikal mangsa menyebabkan dia terjatuh dan menggelonsor ke kanan jalan.
“Akibat itu, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis di balai berdekatan.
“Pihak kita telah merakam percakapan mangsa dan pemandu kenderaan terbabit bagi siasatan lanjut dibawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tular dalam laman sosial sebuah video kemalangan antara motosikal dan kenderaan SUV.
Video berdurasi 16 saat itu merakamkan detik cemas seorang penunggang motosikal bergesel dengan kenderaan SUV tersebut menyebabkan dia terjatuh lalu terbabas di bahu jalan. -UTUSAN ONLINE










