ARAU 21 Okt. – Pemilihan PKR Cabang Arau di sini sedikit tegang apabila Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman ‘menyekolahkan’ penyokong daripada kem Rafizi Ramli yang didakwa cuba mengelirukan pengundi menyokong calon daripada pasukan mereka.
Beliau yang juga calon Timbalan Ketua Cabang Arau, berkata, sekumpulan individu terbabit dipercayai datang dari luar negeri ini telah bertindak menampal pelekat gambar calon daripada kem mereka di kertas senarai nama calon yang diedarkan kepada pengundi.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika, beliau walau bagaimanapun sempat menghalang tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit.
“Kami tidak kisah jika mereka mahu berkempen atau memasang poster di kawasan berkenaan tetapi janganlah sampai menampal pelekat gambar calon lain (calon kem Rafizi) pada kertas yang telah disediakan kepada pengundi.
“Mereka dilihat cuba mengelirukan pengundi. Pengundi sudah mempunyai senarai nama untuk diundi, tiba-tiba mereka datang menampal gambar calon Naib Presiden, Datuk Johari Abdul pada kertas itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seramai 5,490 ahli PKR Perlis layak mengundi bagi memilih barisan pemimpin peringkat Pusat dan cabang-cabang parti itu di negeri ini.
Pemilihan kali ini, menyaksikan pertembungan sengit daripada calon-calon kem Rafizi yang kebanyakannya terdiri daripada wakil-wakil rakyat parti itu di negeri ini manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula terdiri daripada mereka yang berpengalaman atau muka lama.
Mengulas lanjut, Mohammad Faisol berkata, beliau menasihatkan penyokong daripada kem Rafizi supaya berkempen dengan cara berhemah dan tidak menimbulkan sebarang provokasi. – UTUSAN ONLINE










