IPOH 16 Okt. – Gara-gara tidak berpuas hati terhadap seorang pekerja sebuah stesen minyak di Sungkai yang tersilap mengisi bahan bakar, seorang pelanggan dikatakan memukul pekerja tersebut dalam kejadian pada 6 Oktober lalu.
Pekerja tersebut dikatakan tersilap kerana mengisi minyak RON 95 sedangkan pelanggannya yang merupakan seorang penunggang motosikal mahukan minyak RON 97.
Kejadian itu tular dilaman sosial menerusi dua video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pekerja terbabit yang berada di kaunter ditarik seorang lelaki dan dibawa keluar dari kedai stesen minyak berkenaan.
Dalam rakaman itu, penunggang motosikal tersebut beberapa kali menolak pekerja terbabit termasuk menendangnya sehingga jatuh.
Beberapa penunggang motosikal meleraikan pergaduhan sebelum membawa pekerja terbabit masuk semula ke dalam premis berkenaan.
Difahamkan, pekerja yang terlibat telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Tapah pada hari yang sama. – UTUSAN ONLINE









