[VIDEO] OKU tabah jaga bapa derita sakit buah pinggang - Utusan Malaysia

[VIDEO] OKU tabah jaga bapa derita sakit buah pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Dilahirkan tanpa penglihatan sempurna dan sebelah tangan yang gagal berfungsi tidak menghalang Norashikin Azmi mengerah kudrat menjaga dan mengurus ayah yang menghidapi sakit buah pinggang.

Lebih memeritkan, ayahnya, Azmi Mahamud, 53, yang menghidapi sakit buah pinggang tahap tiga tidak boleh bergerak selepas patah kaki kerana terjatuh ketika menjalani proses dialisis buah pinggang beberapa minggu lalu.

Justeru dengan segala kudrat yang ada, gadis orang kurang upaya (OKU) berusia 27 tahun itu mengurus kehidupan seharian ayahnya yang bergantung 100 peratus kepada orang lain untuk bergerak.

Azmi, bekas anggota Tentera Darat daripada Rejimen Semboyan Diraja berkata, beliau disahkan menghidapi sakit buah pinggang sejak awal Januari lalu dan kini urusan hariannya diuruskan oleh anak perempuannya itu.

“Sejak itu pergerakan saya terbatas dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda. Keadaan menjadi lebih teruk selepas patah kaki kerana jatuh semasa melakukan dialisis.

“Pergerakkan saya terbatas kerana kemalangan beberapa tahun dahulu dan pergi dialisis setiap minggu merupakan cabaran untuk anak menguruskan saya,” ujarnya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Beliau menambah, selepas patah kaki, beliau perlu menempah ambulans untuk membawanya ke tempat dialisis dengan bayaran RM150 berbanding sebelum itu yang hanya menggunakan perkhidmatan Grab.

Tambahnya, walaupun dia menerima bantuan dari Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ianya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan rawatan sebulan.

“Saya perlu buat dialisis seminggu tiga kali dengan kos menaiki ambulans RM150 sehari dan apa yang saya terima sangat tidak mencukupi tambah lagi dengan ubat-ubatan yang perlu dibeli.

“Saya sangat memerlukan bantuan dan cadangan dari orang ramai yang boleh meringankan beban saya sekeluarga bagi memudahkan urusan saya untuk menjalankan dialisis ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh salurkan ke akaun Maybank 164490217365 atas nama Azmi bin Mahmud atau boleh menghubungi 018-7758285 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN