KUALA LUMPUR 26 Okt. – Memenangi wang tunai sebanyak RM50,000 dalam kempen Mesra Bonanza 2018 anjuran Petronas Dagang Malaysia (PDB) merupakan sesuatu yang amat tidak disangka-sangka bagi Rimee Abu yang berkerja sebagai seorang nelayan.

Rimee, 45 berkata, wang tunai tersebut mampu membantu ekonomi keluarganya yang tinggal di Kampung Rombang, Melaka.
“Perasaan apabila nama dipanggil untuk memenangi wang tunai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Bekerja sebagai nelayan pastinya ada cabaran dan kesukaran yang dihadapi jadi dengan kemenangan ini sedikit sebanyak dapat membantu saya dan keluarga,” katanya semasa acara penyampaian hadiah Mesra Bonanza kali kedua di sini hari ini.
Hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin.
Hadiah utama khas iaitu pakej menonton Perlumbaan F1 secara langsung di Abu Dhabi dengan segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya PDB dimenangi oleh Engku Isyamuddin Tuan Losin.

Engku Isyamuddin, 44 yang bekerja sebagai Pengurus Penajaan di sebuah syarikat swasta berasa tidak sabar untuk menyaksikan F1 secara langsung di Abu Dhabi pada 23 November hingga 25 Novermber depan.
“Siapa tidak berasa teruja apabila dapat menjejakkan kaki ke negara yang serba canggih itu dan dapat menyaksikan F1 secara langsung merupakan satu mimpi menjadi kenyataan.
“Sebagai pengguna tegar Petronas saya sangat menghargai usaha yang dilakukan oleh pihak Petronas Dagangan sebagai tanda pengargaan kepada pengguna seperti kami,” ujar Engku Isyamuddin.
Sementara itu, Syed Zainal berkata, kempen Mesra Bonanza dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada pengguna setia Petronas.
“Kita mempunyai seramai 2.6 juta pemegang Kad Mesra Petronas jadi dengan mengadakan program seperti ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada mereka.
“Kempen ini menerima sambutan yang hangat daripada orang ramai dan jumlah penyertaan juga meningkat sejak dilancarkan pada bulan April lalu,” kata Syed Zainal.
Orang ramai boleh menyertai Mesra Bonanza dengan mengisi minyak minima RM30 di mana-mana stesen yang berdekatan sehingga 31 Disember ini.-UTUSAN ONLINE










