KUALA LUMPUR 25 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini kembali semula ke Mahkamah Sesyen di sini bagi menghadapi pendakwaan buat kali keempat dalam tempoh empat bulan.
Video oleh NAIMAH MOHAMED
Bagaimanapun, ‘lawatan bulanan’ ke mahkamah tersebut kali ini ditemani bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah bagi menghadapi secara bersama enam pertuduhan pecah amanah melibatkan wang kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.
Tepat pukul 10 pagi, jurubahasa mahkamah mula membacakan pertuduhan terhadap Najib, 65, yang merupakan tertuduh pertama manakala Mohd. Irwan Serigar, 61, dinamakan sebagai tertuduh kedua.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Najib atas kapasiti Menteri Kewangan dan Mohd. Irwan Serigar selaku Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap harta berjumlah RM1.85 bilion milik Kerajaan Malaysia di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 21 Disember 2016.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mereka didakwa melakukan pecah amanah terhadap peruntukan ‘Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB) sebanyak RM220 juta dan peruntukan ‘Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi dan Bantuan Tunai berjumlah RM1.3 bilion’.
Pertuduhan kelima, Najib dan Mohd. Irwan Serigar didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang berjumlah 1.95 bilion yuan China (hampir RM1.3 bilion) manakala bagi pertuduhan terakhir, mereka didakwa melakukan kesalahan sama atas dana milik kerajaan berjumlah RM2 bilion.
Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, mereka berdua didakwa melakukan perbuatan tersebut di tempat yang sama antara 3 Ogos dan 18 Disember 2017.
Jumlah wang yang terlibat adalah RM6,636,065,000.
Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.
Bagaimanapun, jika disabitkan kesalahan, Najib dan Mohd. Irwan Serigar tidak akan disebat memandangkan mereka masing-masing telah berumur melebihi 50 tahun.
Hakim Azman Ahmad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin serta diperintahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa dan diplomatik masing-masing ke mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.
Mahkamah juga membenarkan wang jaminan dibayar secara ansuran dengan jumlah RM500,000 perlu dilunaskan hari ini manakala selebihnya perlu diselesaikan dalam tempoh 10 hari bermula hari ini. Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 29 November ini.
Pada tarikh tersebut, pasukan pembelaan yang diketuai Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bagi pihak Najib dan Datuk K. Kumaraendran mewakili Mohd. Irwan Serigar akan mengemukakan permohonan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini.










