PALU (Indonesia) 29 Okt. – Jelas terpancar keriangan pada wajah golongan kanak-kanak menyambut rombongan misi kemanusiaan yang dikendalikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyCare di sini.
Misi yang diketuai Pengerusi MyCare Johor, Prof. Dr. Mohd. Zin Kandar sejak Jumaat lalu turut disertai Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan dan Utara, masing-masing Mas Imran Adam dan Zamzuri Mansor.
Selain menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas serta pek makanan ringan untuk kanak-kanak dan kit penjagaan diri bagi golongan wanita, misi yang turut disertai dua doktor daripada Ikram Health, Dr. Rafidah Bahari dan Dr. Hariani Ishak turut mengadakan aktiviti psikososial bersama-sama mangsa bencana alam berkenaan.
Mohd. Zin berkata, misi kemanusiaan kali kedua oleh pihak MyCare memberi tumpuan terhadap usaha menyampaikan bantuan barangan dan memulih serta memberi semangat kepada mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda kota ini kira-kira sebulan lalu.
“Selain itu, peserta misi turut bekerjasama mengendalikan beberapa aktiviti seperti bercerita, melukis, permainan boling kelapa dan mencari gula-gula dalam tepung.
“Nyata warga Palu, khususnya mangsa yang terjejas akibat gempa dan tsunami amat mengalu-alukan kehadiran rombongan ini,” katanya di sini.
Menurutnya, permainan boling kelapa dan mencari gula-gula dalam tepung serta persembahan badut nyata berjaya menceriakan mangsa bencana alam itu, khususnya golongan kanak-kanak.
Delegasi misi turut melawat beberapa kawasan yang terjejas teruk sehingga mengorbankan ribuan nyawa pada kejadian 28 September lalu seperti Kampung Balaroa dan Petobo yang ‘lenyap’ ditelan bumi serta perkampungan nelayan Tanjung Padang, Jono Oge dan Dusun 2 di Donggala serta Teluk Palu yang dilanda tsunami. – UTUSAN ONLINE










