Hadiah wang tunai dan sijil penyertaan peringkat kebangsaan menjadi faktor pemangkin untuk pelajar sekolah menengah menyerlahkan kreativiti mereka secara berkumpulan dalam Pertandingan Video Pendek #Muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online sejak Januari lalu dan akan berakhir pada Disember depan.
Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, Shah Alam, Mohamad Khamidon Sadi, pertandingan ini sebagai salah satu cara mencungkil bakat terpendam dalam kalangan generasi muda di samping menerapkan semangat perpaduan antara kaum di negara kita.
“Semestinya, pertandingan ini menjadi saluran terbaik mengeluarkan bakat idea kreatif menerusi kerjasama dengan rakan sekumpulan dalam membentuk persefahaman dan keserasian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu bagi bulan April-Mei di Ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
wakil SMK Seksyen 16, Kumpulan Star Girls diumumkan sebagai satu daripada empat pemenang utama yang meraih hadiah tunai RM1,000 dan sijil penyertaan tajaan syarikat Orando Holdings.
Tiga lagi pemenang ialah Kumpulan Convent Film Crew (SMK Convent Batu Pahat, Johor), We Are The Best (SMK Bandar T6, Kluang, Johor) dan BDB Boys (SMK Bandar Damai Perdana, Kuala Lumpur).
Hadiah disampaikan oleh Ketua Unit Sektor Pembestarian Sekolah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Shaharizan Ibrahim.
Yang turut hadir, Wakil Orando Holdings, Joey Thum Pui Yee; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.
Sementara itu, kata Mohamad Khamidon, kegembiraan yang dirasai ini akan dikongsi bersama-sama semua warga SMK Seksyen 16 menerusi penyampaian hadiah sekali lagi di hadapan pelajar-pelajar sewaktu perhimpunan pagi di sekolah.
“Penyampaian itu akan menjadi pemangkin kepada kumpulan-kumpulan lain yang teruja untuk menyertai pertandingan ini,” ujarnya.










