IPOH – Lebih 1,000 penyokong bola sepak negeri ini kecewa selepas kaunter jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Perak dan Terengganu, di Stadium Perak di sini ditutup selepas hampir sejam ia dibuka.
Difahamkan, kaunter di stadium tersebut sepatutnya dibuka pada pukul 9 pagi hingga 5 petang namun ditutup lebih awal dipercayai telah kehabisan.
Seorang penyokong setia Perak, Ahmad Faizul Yusof, 36, berkata, mustahil 30,000 tiket yang diperuntukkan untuk penyokong habis dalam masa hampir sejam kerana Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) hanya memperuntukkan maksimum lima keping tiket untuk seorang.
“Saya telah menunggu di stadium ini sejak pukul 11 malam untuk membeli tiket perlawanan. Selepas hampir sejam kaunter dibuka, petugas terus menutup kaunter tanpa sebarang makluman.
“Status sekarang ini tidak dapat dipastikan sama ada tiket masih ada atau sebaliknya. Wakil Pafa pun tidak memberikan sebarang makluman dan kami akan tetap menunggu di sini sehingga ada kenyataan rasmi daripada Pafa mengenenai status jualan tiket ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di pekarangan stadium di sini hari ini. – K! ONLINE










