KUALA LUMPUR 25 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membawa pulang seorang wanita dan dua anaknya yang terperangkap di Syria selepas kematian suaminya, seorang pengganas Daesh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, wanita bersama anak-anaknya itu dibawa pulang dengan kerjasama antara Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, National Intelligence Organisation dan Kedutaan Malaysia di Turki.
“Proses untuk membawa pulang wanita dan dua anaknya berusia lima dan dua tahun memakan masa tiga minggu sebelum berjaya pada Oktober lalu.
“Wanita itu menghubungi keluarganya untuk memohon bantuan polis selepas suaminya meninggal dunia pada 9 Februari lalu akibat peperangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurut Mohamad Fuzi, polis akan membantu wanita itu daripada segi urusan dokumen dan sesi kaunseling supaya dia dapat kembali ke pangkuan masyarakat.
Jelasnya, setakat 2013 hingga 2018, pihaknya berjaya membawa pulang sebanyak 11 orang manakala 102 lagi rakyat tempatan masih berada di Syria.
Dalam pada itu, wanita yang hanya dikenali sebagai Aisyah itu berkata, dia hanya tahu mengenai penglibatan suaminya dalam militan Daesh ketika berada di Turki pada Mac 2016.
“Kami berada di Istanbul selama lima hari dan kemudian menginap di sebuah rumah sewa di Turki dan selepas itu barulah saya tahu arwah suami terlibat dengan Daesh.
“Selepas setahun berada di Turki, barulah kami berjaya masuk ke Syria melalui jalan hutan dan menetap di Idlib, Syria,” katanya.
Tambahnya, dia nekad untuk meminta bantuan keluarganya selepas hilang tempat bergantung akibat kehilangan suaminya yang maut berperang. – UTUSAN ONLINE










