[VIDEO] Isteri, dua anak militan Daesh diselamatkan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Isteri, dua anak militan Daesh diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Seorang wanita bersama dua anaknya yang terpe­rangkap selepas kematian suaminya yang menyertai militan Daesh di Syria berjaya di­selamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 6 Oktober lalu.


Video oleh AZRUL RADI

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi menyelamat itu dilakukan dengan kerjasama antara Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman bersama National Intelligence Organisation (MIT) dan Kedutaan Malaysia di Turki.

“Wanita ini bersama dua anaknya berusia lima dan dua tahun menyatakan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga selepas kehilangan suaminya yang pergi berperang pada 9 Februari lalu.

“Keluarga wanita ini kemudian menghubungi kami dan perancangan membawa pulang mula diatur dengan kerjasama beberapa pihak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Mohamad Fuzi, proses membawa pulang wanita itu mengambil masa selama tiga minggu dan berjalan dengan baik walaupun wanita tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen.

Jelas beliau, dokumen wanita itu telah diambil oleh pihak tertentu di sana yang terlibat de­ngan Daesh ketika mereka tiba di Syria.

“Buat masa ini, kami akan bantu wanita ini bersama anaknya menjalani proses pemulihan dan sesi kaunseling bagi memudahkan dia kembali kepada masyarakat,” ujar beliau.

Mohamad Fuzi memberitahu, setakat ini terdapat empat lagi individu sudah menghubungi pihaknya dan proses untuk membawa pulang sedang dijalankan.

Tambah beliau, sejak 2013 sehingga Oktober ini, sebanyak 102 warga tempatan dipercayai terlibat dengan militan Daesh berada di Syria dan sepanjang tempoh itu juga, 37 orang disahkan terkorban manakala 11 individu telah kembali ke tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN