KUALA LUMPUR 23 Okt. – Para penggiat seni disaran menghasilkan karya yang selari dengan pembinaan bangsa dan negara.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof, peranan yang dimainkan oleh penggiat seni tidak terhad kepada hiburan semata-mata, tetapi membentuk budaya pemikiran golongan muda.
“Seperti yang diperkatakan oleh Perdana Menteri tempoh hari, kita mahukan negara kita menjadi negara pengeluar, bukan sahaja negara pengguna.
“Jadi ini merupakan satu tanggungjawab buat semua, termasuk penghasil produk seni. Produk yang dihasilkan harus selari dengan pembudayaan bangsa dan penonjolan kreativiti,” katanya ketika melancarkan portal Media House Entertainment (MHE), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd., Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir; dan Ketua Pegawai Eksekutif MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.
MHE merupakan sebuah portal media dalam talian yang meliputi hiburan dan gaya hidup.
Selain portal web tv yang boleh dilayari di www.MHETV.my, portal ini turut menggabungkan jenama penerbitan yang cukup terkenal dalam bidang hiburan dan gaya hidup iaitu Pancaindera, URTV dan Majalah WANITA. – UTUSAN ONLINE











