[VIDEO] Dua rakan dipenjara curi sos cili, seluar pendek - Utusan Malaysia

[VIDEO] Dua rakan dipenjara curi sos cili, seluar pendek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Dua rakan masing-masing dihukum penjara 14 hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini sebentar tadi setelah mengaku bersalah mencuri beberapa helai seluar, baju dan makanan di sebuah pasar raya, Khamis lalu.

Penganggur, Mohamad Razimi Amirul Mohd. Rahim, 20, dan pembantu gerai, Habib Basyar Mohd. Zaki, 24, didakwa melakukan kesalahan itu di Pasar raya Tesco Ampang dekat sini pada pukul 5.17 petang, 25 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, mereka mencuri empat helai seluar pendek lelaki, sehelai baju lelaki dan wanita, sebotol sos cili dan mayonis serta sebungkus makanan segera sejuk beku iaitu kentang goreng dan nuget ayam keseluruhannya bernilai RM190.99 milik pasar raya tersebut.

Pertuduhan terhadap kedua-duanya dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali memerintahkan kedua-dua pemuda itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada hari kejadian dan tempoh mereka dipenjarakan boleh dilanjutkan sebulan lagi jika gagal membayar denda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN