PASIR PUTEH 29 Okt. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam yang sedang menangkap ikan secara haram dengan hasil rampasan dianggarkan RM 1.5 juta kira-kira 105.5 kilometer dari Kuala Tok Bali, dekat sini, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua buah bot berkenaan ditahan pada pukul 6.30 petang dan bot kedua pada pukul 7.30 malam.
Menurutnya, dalam kejadian itu, Kapal Maritim (KM) Jujur diketuai Leftenan Komander Maritim Pazrul Niza Mohd. Mustapa sedang menjalankan Ops Damai menerima maklumat tentang kehadiran dua buah bot nelayan asing.
“Bertindak atas maklumat itu, KM Jujur bergegas ke lokasi dan mendapati kedua-dua bot bersama awak-awaknya sedang mencuri hasil laut negara.
“Mereka dipercayai memukat secara tunda ganding yang diharamkan di negara ini. Kedua-dua bot nelayan asing itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, dekat sini, hari ini.
Nurul Hizam berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati 18 awak-awak nelayan asing Vietnam berumur 18 hingga 42 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, salah seorang tekong dari salah sebuah bot pernah ditahan bagi kesalahan yang sama sebelum ini.
“Kedua-dua bot bersama-sama awak-awaknya masuk ke Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan, dekat sini, untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya. – UTUSAN ONLINE










