KUALA LUMPUR 19 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan menyeluruh termasuk dakwaan rakan mangsa, Wan Amirah Wan Alias, 31, yang maut dalam kejadian langgar lari di Shaftsbury Square, Cyberjaya dekat sini kelmarin.
Video oleh ZAKI AMIRUDDIN
Seorang rakan mangsa mendakwa, pengawal keselamatan di lokasi kejadian memberitahu insiden tersebut dipercayai berpunca kerana suspek berang kenderaannya dilarang parkir di situ sebelum beredar dan melanggar beberapa kenderaan lain serta Wan Amirah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk dakwaan berkenaan.
“Siasatan merangkumi setiap aspek namun kita tidak dapat dedahkan. Kita juga sedang menunggu keputusan ujian air kencing yang dilakukan terhadap kesemua suspek,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Amirah yang cedera parah dirempuh dan diseret sebuah kereta di hadapan bangunan kedai Shaftbury disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pukul 4 pagi semalam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurutnya, keempat-empat suspek iaitu seorang lelaki Yemen berumur 22 tahun, dua lelaki Libya berumur 24 dan 20 tahun serta seorang wanita berumur 32 tahun yang berasal dari Sabah ditahan di Seri Kembangan dan Cyberjaya.
“Polis juga merampas sebuah kereta jenis Hyundai berwarna perak yang terbabit dengan kes berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, semua tangkapan tersebut membabitkan pelajar di sebuah universiti antarabangsa di Cyberjaya dan seorang lelaki mengaku memandu kenderaan Hyundai itu semasa kemalangan.
Terdahulu, Penolong Pendaftar Mahkamah Sepang, Alpha Dragam mengeluarkan perintah reman terhadap kesemua suspek selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan itu.










