[VIDEO] Bantuan kerajaan tingkatkan jualan Sambal Hijau Samza’s - Utusan Malaysia

[VIDEO] Bantuan kerajaan tingkatkan jualan Sambal Hijau Samza’s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Apabila menyebut tentang makanan kegemaran rakyat Malaysia, pastinya menu yang mempunyai rasa pedas menjadi antara pilihan utama.

Bagi memastikan cita rasa masyarakat dapat dikongsi bersama, syarikat Bumiputera di bawah jenama, Samza’s mengambil inisiatif untuk menghasilkan produk makanan berasaskan cili seperti Sambal Hijau dan beberapa produk lagi.

Ujar pengasas Samza’s, Norhazlina Sajali, 35, Sambal Hijau yang diusahakan bersama rakan niaganya, Dr. Mohamed Zairul Mohd. Yunus, 46, bermula tahun 2015 itu enak dimakan bersama nasi panas selain cara penyediaannya amat cukup mudah.

“Mengimbau permulaan operasi kami, ketika itu kami cuma menghasilkan Sambal Hijau sekitar 30 botol sahaja dalam masa sehari namun setelah mendapat maklum balas yang positif daripada pelanggan, jumlah penghasilannya perlu dipertingkatkan.

“Nasib syarikat kami juga mula berubah daripada syarikat kecil bertukar menjadi pemain industri menerusi bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani apabila dipelawa untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2016, dua tahun lalu,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di kilangnya di Rawang, Selangor.

Menyoroti perkembangan itu, Norhazlina turut memberitahu jumlah penghasilan Sambal Hijau bukan hanya meningkat kepada 15,000 botol dalam masa sebulan malah Samza’s juga kini mempunyai hampir 18 jenis produk pelbagai citarasa di pasaran.

“Tanpa ada bantuan dan khidmat nasihat daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Samza’s mungkin tidak dapat mengecapi kejayaan sebegini hari ini sekali gus mampu membuka peluang kepada usahawan lain pula untuk sama-sama menimba pengalaman dengan syarikat kami,” katanya.

Ketika ditanya tentang persediaan program MAHA 2018, Norhazlina berkongsi rasa tidak sabarnya untuk bertemu dengan rakan niaga serta pelanggan baharu sepanjang 11 hari program itu berlangsung nanti.

“Dalam program itu juga, pelanggan bukan sahaja boleh mencuba Sambal Hijau serta beberapa produk lain keluaran Samza’s dengan harga promosi RM10 malah turut berpeluang untuk menerima pelbagai hadiah misteri.

“Jadi singgahlah ke gerai nombor 97 jika berkesempatan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang nanti untuk bertemu dengan kakitangan Samza’s sekali gus menyokong usaha penghasilan produk-produk tempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN