[VIDEO] Bajet 2019: Tangani kos sara hidup mampu kurangkan tekanan rakyat - Utusan Malaysia

[VIDEO] Bajet 2019: Tangani kos sara hidup mampu kurangkan tekanan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Hari ini genap seminggu sebelum Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentang Bajet 2019 untuk kali pertamanya selepas mengambil alih kerajaan pada 9 Mei lalu.

Tanggal 2 November ini pastinya ditunggu-tunggu rakyat Malaysia bagi melihat sejauh mana perancangan kerajaan dalam meningkatkan ekonomi, mengimbangi peningkatan kos sara hidup dan lain-lain berikutan pengumuman Dr. Mahathir bahawa peruntukan kali ini adalah lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Di sebalik itu, rakyat pastinya menantikan khabar gembira terutama bagi mendepani masalah kos sara hidup yang membelenggu mereka saban tahun.

Kakitangan awam, Mohd. Zuramin Ismail, 41, berkata, rakyat masih lagi berdepan tekanan khususnya dalam hal ekomomi dan kos sara hidup biarpun negara ketika ini ditunjangi kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

“Harapan saya agar kerajaan memberi perhatian bagaimana cara menurunkan kos sara hidup kerana ini melibatkan seluruh rakyat. Sekarang ini boleh dikatakan masih ada lagi tekanan terhadap rakyat khususnya dari segi ekonomi.

“Kerajaan perlu melihat bagaimana cara terbaik meningkatkan pendapatan. Itu saya rasa perlu diberikan lebih penekanan oleh kerajaan,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

OSMAN AFFANDI
OSMAN AFFANDI

Dalam pada itu, pemandu teksi, Osman Affandi, 65, berkata, perubahan utama yang perlu diperjuangkan kerajaan dalam Bajet 2019 adalah meningkatkan kuasa beli rakyat.

“Kos sara hidup dan perbelanjaan harian perlu diberikan keutamaan. Rakyat hendak lihat ada perubahan, ini bermakna kemampuan kuasa beli dalam kalangan rakyat perlu meningkat dan mereka masih mampu beli barangan keperluan harian.

“Kalau tiada perubahan, itu pastianya ada masalah nanti,” ujarnya.

M. Gopinathan, 39, pula berkata, cukai baharu yang akan diperkenalkan kerajaan kelak diharap tidak akan menekan rakyat.

“Harap Dr. Mahathir dapat bantu rakyat biarpun ketika ini kerajaan menghadapi masalah kewangan. Cuma cara pengagihan bajet kali ini jangan tekan rakyat dengan faedah dan cukai yang akan diperkenalkan,” katanya.

NUR IFFAH LIANA MOHD. NAZAR
NUR IFFAH LIANA MOHD. NAZAR

Sementara itu, pelajar universiti awam, Nur Iffah Liana Mohd. Nazar, 18, berharap kerajaan menyediakan bantuan bahan bantu belajar bagi mahasiswa di institusi pendidikan tinggi.

“Kerajaan patut menambah jumlah peruntukan bagi pelajar-pelajar universiti awam dan swasta untuk membeli bahan bantu belajar seperti buku, alat tulis dan sebagainya. Mungkin pemberian baucar perlu diagihkan kepada pelajar-pelajar,” katanya.

VINCENT SIOR
VINCENT SIOR

Bagi pekerja swasta, Vincent Sior, 25, pula berkata, jika tidak mampu untuk memansuhkan kutipan tol di seluruh negara, kerajaan PH mungkin boleh mempertimbangkan cadangan mengurangkan kadar tol bagi meringankan beban pengguna jalan raya.

“Mungkin kutipan tol tidak dapat dihapuskan tetapi kerajaan mungkin boleh merendahkan harga yang dikenakan untuk ringankan beban rkayat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN