[VIDEO] 25 penumpang, 9 krew feri Langkawi terkandas 7 jam di laut - Utusan Malaysia

[VIDEO] 25 penumpang, 9 krew feri Langkawi terkandas 7 jam di laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH 26 Okt. – Seramai 25 penumpang feri dan sembilan krew terkandas lebih tujuh jam selepas feri yang mereka naiki dari Langkawi ke Kuala Kedah mengalami kerosakan enjin.


Video oleh FARIZ RUSADIO

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, enjin feri dua tingkat tersebut mengalami kerosakan kira-kira 15 batu nautika dari pulau peranginan tersebut.

Sumber memaklumkan, feri tersebut bertolak pada pukul 2.30 petang dan dijadualkan tiba di Terminal Feri Kuala Kedah pada pukul 4 petang.

Bagaimanapun, katanya, pihak syarikat feri terbabit menerima panggilan yang memaklumkan enjin feri berkenaan mengalami kerosakan kira-kira pukul 3.30 petang.

“Feri tersebut mengalami kerosakan enjin ketika berada sejauh lebih kurang 15 batu nautika dari Kuala Kedah,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini malam ini.

Jarak perjalanan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah adalah dianggarkan sejauh 30 batu nautika.

Menurut sumber, feri tersebut yang boleh memuatkan 200 penumpang itu kemudian ditunda dengan sebuah feri lain ke Kuala Kedah.

“Feri terbabit selamat tiba di Terminal Feri Kuala Kedah kira-kira pukul 10.45 malam,” katanya.

Sementara itu, seorang penumpang feri berkenaan, Norma Ishak, 57, berkata, dia menerima berita sedih mengenai kematian ibunya ketika berada dalam feri berkenaan pukul 3 petang.

“Saya tinggal di Langkawi dan berulang-alik menaiki feri untuk menziarahi ibu, Halijah Shafie, 80, yang sakit tenat di Kubang Rotan.

“Saya rasa sangat terkilan kerana tidak sempat menatap wajah ibu buat kali terakhir apabila jenazahnya telah dikebumikan pukul 8.45 malam tadi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN