KUALA LUMPUR 25 Okt. – Universiti Putra Malaysia (UPM) meningkatkan kedudukan ke tangga ke-34 universiti terbaik Asia dalam penarafan Quacquarelli Symond (QS) Asia Universtiy Rankings 2019, melonjak dua anak tangga berbanding sebelum ini.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Aini Ideris berkata, pencapaian terbaik UPM dalam penarafan kedudukan itu adalah kecemerlangan dalam pengantarabangsaan.
“Kami juga mencapai markah yang tinggi untuk indikator pertukaran pelajar, skor lain yang lebih tinggi ialah petunjuk pengantarabangsaan seperti jaringan penyelidikan antarabangsa, fakulti antarabangsa dan pelajar antarabangsa.
“Inisiatif berterusan UPM meningkatkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program telah menghasilkan peningkatan dalam petunjuk pengantarabangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, UPM juga mengekalkan kedudukan sebagai universiti kedua terbaik negara ini selepas Universiti Malaya dalam kedudukan itu sejak tiga tahun berturut-turut. – UTUSAN ONLINE










