MANCHESTER 30 Okt. – Pasukan bola sepak remaja Thailand yang mencetuskan kegemparan selepas terperangkap dalam gua bawah tanah selama lebih dua minggu di Chiang Rai, utara Thailand Jun lalu diraikan kelab gergasi Inggeris, Manchester United.
Sabtu lalu, kesemua 12 pemain kelab Wild Boars berkenaan berpeluang bertemu pengurus United, Jose Mourinho dan pasukan utama sebelum menjadi tetamu kehormat bagi menyaksikan aksi Liga Perdana Inggeris Red Devils menentang Everton di Old Trafford.
Ketika sesi pertemuan itu, Mourinho dilihat memeluk kesemua pemain remaja tersebut dan bergambar bersama sebelum menandatangani cenderamata untuk kesemua pemain yang berusia antara 11 hingga 16 tahun.
Antara pemain yang turut meluangkan masa bersama pasukan bola sepak remaja itu adalah Ander Herrera, Paul Pogba, Anthony Martial, Ashley Young, Andreas Pereira dan Fred.
Kehadiran 12 pemain tersebut ke bandaraya Machester turut diiringi dua jurulatih, ahli keluarga dan wakil kerajaan Thailand, Werachon Sukondhapatipak.
Sebelum ini, pasukan Wild Boars pernah tampil bersama bekas penyerang United, Zlatan Ibrahimovic dalam sebuah rancangan televisyen Amerika Syarikat yang dihoskan Ellen Degeneres.
Seramai 12 pemain bersama jurulatih terperangkap dalam gua Tham Luang pada 23 Jun lalu ketika melakukan penjelajahan di utara wilayah Chiang Rai selepas latihan bola sepak, namun hujan lebat menyebabkan terowong gua itu ditenggelami air.
Namun, kesemua mereka hanya dapat dikeluarkan selepas terperangkap selama 17 hari yang melibatkan operasi daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara. – AFP










