Unimap disyor terajui Society 5.0 - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Unimap disyor terajui Society 5.0 – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 27 Okt. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengesyorkan supaya Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengambil inisiatif menerajui pelaksanaan cabaran pembentukan budaya masyarakat pintar 5.0 (Society 5.0) yang tidak lama lagi berkemungkinan melepasi Revolusi Industri 4.0.

Titah baginda, menerusi pelaksanaan tersebut, fokus bukan sahaja kepada teknologi, infrastruktur dan ilmu pengetahuan seperti Realiti Berperanta (Augmented Reality) dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), tetapi juga kesan serta manfaatnya kepada masyarakat.

“Ini direalisasikan dengan aktiviti penyelidikan berteraskan pengetahuan dan teknologi yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat.

“Apa yang lebih membanggakan adalah Unimap telah melaksanakan penyelidikan di dalam rangkaian sensor tanpa wayar (WSN) yang merupakan asas kepada internet saling berhubung (IoT) sebelum terminologi itu sendiri digunakan,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Pertama Bagi Istiadat Konvokesyen Ke-13, Unimap 2018 di Dewan Ilmu Unimap, Pauh Putra di sini, hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro-Canselor Unimap.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Noraswana Omar.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor Unimap seterusnya bertitah, Unimap juga seharusnya membekalkan kepakarannya untuk mempersiapsiagakan masyarakat dalam Inovasi Disruptif.

Titah baginda, ini kerana dunia ini bukan sahaja sudah berubah, malah akan sentiasa dan terus berubah.

“Maka haluan produk, perkhidmatan dan perniagaan mestilah juga mudah untuk berubah dalam mendepani dan menangani segala cabaran akan datang,” titah baginda.

Pada kali ini, seramai 3,623 graduan Unimap yang berjaya menamatkan pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing dengan seramai 92 orang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), 169 (sarjana), 2,980 (sarjana muda) dan 382 lagi menerima diploma.

Pada majlis tersebut juga, Prof Emeritus Datuk Ir Dr. Zainai Mohamed menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Amirudin Abd Kadir, menerima Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN