KUALA LUMPUR 29 Okt.- Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan dakwaan bahawa ramai ahli UMNO dilamar untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah seperti ular sawa dijemput masuk ke dalam sarang ular lidi.
Tambah Ahli Parlimen Gua Musang itu lagi, UMNO juga tidak akan terkubur jika hanya terdapat beberapa ahli Parlimen dan pemimpinnya melompat parti.
“Macam ular sawa dijemput masuk sarang ular lidi, saya tidak pula menerima tawaran tersebut, saya racun kuat, tak diterima barangkali.
“UMNO tidak akan habis, nak hancur bagaimana, UMNO ini parti akar umbi. Di mana-mana pun ada UMNO, di kampung dan ceruk mana pun ada, sudah dekat 70 tahun, bukan mudah, sudah ada sejarah dan perjuangannya berasas termasuk ketika melawan penjajah,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Baru-baru ini Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin mendakwa kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO dikatakan akan keluar parti dan menyertai Bersatu. – UTUSAN ONLINE










