KUALA LUMPUR 20 Okt. – UMNO akan tetap bertahan walaupun pemimpinnya dilanda dugaan serta terpaksa berhadapan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, parti itu tidak akan mati hanya kerana seseorang pemimpin.
“Saya percaya UMNO mempunyai kedudukan yang kuat, 49 orang dalam Parlimen walaupun ada beberapa orang sudah cabut lari.
“Ini bukan bererti UMNO lemah. Ini berlaku kerana kita tidak ada kuasa. Kalau kita ada kuasa, semua orang hendak ‘hidu’ kita. Pihak lawan mesti hendak tengok UMNO tumbang dan mati,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku The End of UMNO? di Bangunan Sulaiman di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berhadapan dengan 45 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
Ditanya mengenai perancangan UMNO selepas ini, Tengku Razaleigh mencadangkan parti menjalankan pemilihan semula sekiranya Ahmad Zahid meletakkan jawatannya.
Beliau berkata, secara praktisnya, seseorang pemimpin itu perlu meletakkan jawatan atau bercuti sekiranya terlibat dengan pertuduhan di mahkamah. Jelasnya, walaupun parti setakat ini masih berdiam berhubung perkara itu, namun mengikut peraturan, ia adalah praktis biasa.
“Saya tidak kata Ahmad Zahid perlu meletakkan jawatan.
“Perlembagaan parti tidak menyebut demikian, tetapi jika sayangkan parti, sesiapa yang terpalit tuduhan, perlu meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu,” katanya. Jelas Tengku Razaleigh, beberapa pemimpin UMNO sebelum ini seperti bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Harun Idris serta beberapa lagi turut meletakkan jawatan atau bercuti apabila berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah.
Katanya, tindakan ini akan membolehkan jawatan-jawatan mereka dipangku oleh orang lain.









