PULAU PINANG 24 Okt. – UMNO negeri ini mendesak supaya siasatan bencana tanah runtuh di Bukit Kukus di sini, yang mengorbankan sembilan nyawa dibuat secara telus dan menyeluruh.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, suruhanjaya siasatan yang ditubuhkan kelak perlu mengambil kira risiko bencana serupa di tapak-tapak projek lereng bukit lain di negeri ini.
Menurut beliau, penduduk negeri ini ketika ini berdepan kebimbangan selepas dua kali berdepan bencana serupa yang mengorbankan banyak nyawa hanya dalam tempoh selang setahun.
“Kita mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana akhirnya menubuhkan suruhanjaya siasatan walaupun pada hakikatnya tindakan itu terlambat kerana sembilan nyawa sudah menjadi korban.
“Kita berharap suruhanjaya siasatan itu kelak turut mengambil kira risiko projek-projek di lereng bukit lain kerana adalah jelas projek di kawasan sensitif alam sekitar itu tidak selamat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam menggesa supaya siasatan suruhanjaya khas tersebut kelak dapat diselesaikan secepat mungkin manakala hasilnya didedahkan kepada orang awam.
Menurut beliau, UMNO negeri ini bimbang hasil siasatan itu memakan tempoh lama seperti dalam kes tanah runtuh di tapak projek Tanjung Bungah tahun lalu yang sehingga kini masih gagal disiapkan.
“Kelewatan siasatan ini tidak adil khususnya kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi itu kerana mereka berhak untuk mengetahui punca sebenar sekali gus membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











