KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menangkis tanggapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO sudah tidak wujud.
“UMNO masih ada, nampak kan,” kata Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas kenyataan Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu program temubual “Bicara Minda” di Shah Alam semalam bahawa UMNO yang dahulunya memperjuangkan agama, bangsa dan negara sudah tidak wujud di negara ini kerana tersasar daripada matlamatnya.
Menurut Mahathir, yang pernah memimpin UMNO selama 22 tahun, perjuangan parti itu kini hanyalah untuk mengekalkan dan mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ditanya bagaimana beliau akan menangkis serangan Mahathir terhadap UMNO, Ahmad Zahid berkata itu tidak penting dan beliau tidak akan memberi respons.
“Suka hati dia (Mahathir) la,” katanya. – Bernama










