MELAKA 30 Okt. – Masyarakat perlu memperbetulkan persepsi masing-masing yang sering menganggap golongan warga emas tidak mampu untuk memberi sumbangan terhadap pembangunan komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginie Lim Siew Lin berkata, jelas sekali tanggapan itu merupakan satu perkara yang salah.
“Takrifan warga emas adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa warga emas sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.
“Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Walaupun tua dan sudah berusia, warga emas mempunyai daya usaha yang sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat meneruskan jasa dan menabur bakti ke arah pembangunan diri, negara dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan program Seiring Sejalan Seribu Langkah sempena Sambutan Hari Warga Emas 2018 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Taman Botanikal di sini, pagi tadi.
Yang turut hadir, Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik bersama kira-kira 50 warga emas yang menyertai program tersebut serta terlibat dengan pelbagai aktiviti termasuk senaman, demonstrasi masakan makanan sihat dan lain-lain lagi.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan yang terhadil di negara juga merupakan usaha daripada generasi terdahulu yang kini telah menjadi golongan warga emas.
“Cuba kita renung sejenak, kerana kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada masa ini sebenarnya adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas.
“Maka, adalah menjadi komitmen kerajaan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif sebagai tanda pengiktirafan bagi membolehkan warga emas kita menua secara sihat, aktif dan produktif,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










