LONDON 30 Okt. – Tunang kepada Jamal Khashoggi mengkritik respon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung pembunuhan wartawan berkenaan.
Hatice Cengiz mendesak Trump supaya tidak membenarkan Arab Saudi ‘menutup’ pembunuhan Jamal.
“Saya amat kecewa dengan pendirian kepimpinan di kebanyakan negara, terutamanya di AS.
“Trump sepatutnya membantu membongkar kebenaran dan memastikan keadilan dilaksanakan. Beliau tidak sepatutnya membenarkan pembunuhan Jamal ‘disembunyikan’,” katanya menerusi rakaman video diterbitkan oleh media Britain.
Tambah Hatice, dia percaya Arab Saudi tahu di manakah mayat Jamal dan mahu pembunuh sebenar bertanggungjawab sepenuhnya.
Dalam pada itu, ketua pendakwa raya Arab Saudi melawat bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul hari ini.
Peguam Awam Arab Saudi, Sheikh Saud al-Mojeb bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan sebaik beliau tiba di bangunan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa pendakwa raya Arab Saudi untuk memaklumkan kepada mereka siapakah yang menghantar sepasukan ejen perisik untuk membunuh Jamal pada 2 Oktober lalu. – AFP/REUTERS










