Tukang kebun didakwa merompak, menyamar polis - Utusan Malaysia

Tukang kebun didakwa merompak, menyamar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Seorang tukang kebun warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan menyamar sebagai anggota polis, dua minggu lalu.

Gurpreet Singh, 38, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan di sekitar Jalan Tun Perak di sini pada pukul 8 malam, 17 Oktober lalu selesai dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Dr. Gan Chee Keong.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa merompak seorang buruh warga Bangladesh, Golam Haider Chowdhury, 29, dengan melarikan wang tunai RM630 milik mangsa.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Yaacub mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Tertuduh juga didakwa menyamar sebagai pegawai polis kemudian memperkenalkan diri kepada mangsa dan pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 170 kanun sama yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah tidak membenarkan Gurpreet diikat jamin ekoran tiada penjamin hadir dan menetapkan 29 November ini untuk sebutan kes. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN