Tukang jahit maut nahas motosikal - Utusan Malaysia

Tukang jahit maut nahas motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


KLANG 17 Okt. – Seorang tukang jahit maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum tercampak ke jalan raya di Jalan Meru Tambahan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Bustami Ali Mudin, 61, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari kedai jahitnya di Jalan Batu 8, menghala ke Pekan Meru untuk ke kedai makan.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang mangsa telah bergesel dengan sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti jenisnya.

“Akibatnya, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum tercampak ke atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mazelan memberitahu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat.

“Proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 6.30 petang tadi dan mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, “ ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-3921 2222 atau pegawai penyiasat Inspektor Abdul Azim Mazlan di talian 016-7086161. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN