Tukang buat replika kapal terakhir di Britain - Utusan Malaysia

Tukang buat replika kapal terakhir di Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MATANYA begitu teliti memeriksa setiap struktur binaan yang terdapat pada sebuah replika kapal mini USS Constitution di hadapannya.

Sambil tersenyum puas, Philip Reed, 76, menyimpan kapal tersebut di dalam sebuah bekas kaca khas.

Itu merupakan antara rutin yang dilalui oleh Reed sejak dia mengabdikan diri untuk menjadi pembuat kapal miniatur lebih 50 tahun yang lalu.

Reed dipercayai merupakan pembuat kapal mini profesional yang terakhir di Britain.

Menariknya, kesemua replika kapal yang dihasilkan oleh Reed memerlukan kemahiran yang tinggi untuk disiapkan kerana ia diinspirasikan daripada kapal-kapal sekitar era 1600 sehingga Perang Dunia ke-II.

Antara kapal yang berjaya dihasilkan ialah Cutty Sark, USS Constitution dan HMS Hood.

Seni halus

“Dahulu, saya bekerja sebagai seorang guru seni. Bagaimanapun, sekitar 1980-an, saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri di dalam bidang pendidikan dan menumpukan sepenuh perhatian dalam dunia pembuatan replika kapal.

“Bermula dari satu sudut kecil di rumah, saya kemudian berpindah ke sebuah bengkel yang terletak di Cornwall, England dan ia menjadi tempat pertukangan sehingga ke hari ini,” ceritanya membuka bicara.

Menurut Reed, minatnya dalam bidang pembuatan kapal miniatur timbul selepas terlihat sebuah binaan kapal yang sangat halus ketika mengunjungi sebuah kedai di London.

“Sekitar tahun 1970-an, saya pergi ke London untuk melawat seorang rakan.

“Sedang saya berjalan di kaki lima sebuah kedai, saya terpandang satu binaan replika kapal yang sangat indah dan halus. Dari situ, saya mula jatuh hati dan memasang impian untuk menghasilkan sebuah replika kapal sendiri,” jelasnya.

Reed kemudian pergi ke sebuah perpustakaan awam untuk mendapatkan bahan bacaan berkaitan pembuatan kapal.

“Di sini, saya menemui sebuah buku tulisan Harold Underhill yang berjudul Plank on Models Frame.

“Berdasarkan bahan bacaan tersebut, saya belajar cara untuk menghasilkan sebuah kapal miniatur.

“Biarpun begitu, saya akui berhadapan dengan sedikit cabaran pada awal penglibatan dalam bidang ini. Lebih-lebih lagi apabila proses pembuatan kapal memerlukan seni yang sangat halus dan ketelitian yang tinggi,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut Reed, selepas hampir lima tahun bereksperimentasi dengan bahan dan kemahiran yang dimiliki, dia berjaya memahirkan diri dalam bidang tersebut.

Tugas rumit

Cerita Reed lagi, sejak ber­kecimpung dalam bidang itu pada tahun 1971, dia berjaya membina sebanyak 58 buah replika kapal.

“Setiap kapal yang dibuat mengambil masa ratusan jam untuk tujuan penyelidikan sahaja.

“Tempoh untuk disiapkan pula mengambil masa sehingga satu tahun. Ini kerana, saya perlu mengkaji pelan asal terlebih dahulu dan menjadikan kapal sebenar sebagai rujukan bagi memastikan apa yang dibina benar-benar sama.

“Oleh kerana pembuatannya yang rumit, sebuah replika kapal yang dihasilkan dijual dengan harga lebih AS$200,000 (RM831,300),” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai kapal yang dihasilkannya, jelas Reed, dia menggunakan bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti kotak kayu, kertas, logam, tisu dan dawai untuk dijadikan sebagai bahan asas.

Ia kemudian disadur dengan cat mengikut warna asal kapal.

Biasanya, kapal yang dihasilkan Reed dibina dengan panjang sekitar 120 sentimeter (cm) dengan lebar kira-kira 100cm.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN