KUALA LUMPUR 13 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tuduhan tersebar sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kononnya Datin Seri Rosmah Mansor merupakan pemilik Uber dan Grab adalah satu lagi fitnah Pakatan Harapan (PH) untuk menyemarakkan kemarahan orang ramai terhadap beliau dan isterinya.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Uber adalah dari Amerika Syarikat dan kini bernilai US$72 bilion (RM300 bilion) manakala Grab merupakan syarikat tempatan yang dimulakan oleh usahawan muda Malaysia semasa pentadbirannya.
“Saya pasti ramai terkejut dengan pengumuman Kementerian Kewangan mahu menggantikan bas perantara Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) dengan Grab. Oleh itu, jika benar isteri saya pemilik Grab, kenapa PH mahu menggunakan Grab?
“Grab yang bermula sebagai My Teksi berjaya bersaing dan turut menggantikan Uber di Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara, suatu kebanggaan untuk negara.
“Jadi, jika benar isteri saya pengasas dan pemilik Uber dan Grab maka dia adalah usahawan paling berjaya di Malaysia yang turut memahat nama di luar negara. Malangnya ini tidak benar. Isteri saya tiada kena-mengena dengan Uber dan Grab,” katanya menerusi status dalam Facebook, hari ini. – UTUSAN ONLINE











