Trump percaya Jamal sudah mati - Utusan Malaysia

Trump percaya Jamal sudah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 19 Okt. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump percaya bahawa wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi sudah meninggal dunia dan memberi amaran mana-mana pihak termasuk Arab Saudi akan ‘menanggung akibat yang besar’ jika dibuktikan terlibat dalam pembunuhan tersebut.

“Saya percaya Jamal sudah meninggal dunia dan perkara itu sangat menyedihkan.

“Pihak yang bertanggungjawab akan diheret ke muka pengadilan dan menerima balasan yang setimpal atas perbuatan mereka,” katanya seperti dipetik oleh Channel News Asia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenyataan Trump itu dilihat secara tidak langsung sebagai satu penegasan AS berhubung kes kehilangan Jamal sejak dua minggu lalu.

Washington sebelum ini enggan menuduh sekutu­nya, Riyadh terlibat dalam kes pembunuhan Jamal biarpun terdapat banyak bukti yang didakwa mengaitkan negara itu de­ngan kejadian tersebut.

Antara bukti tersebut termasuk wartawan itu dipercayai dibunuh dan mayatnya dikerat dalam Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki sejak lebih dua minggu lalu.

Selain itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo memaklumkan kepada Trump bahawa kerajaan Arab Saudi meminta diberi masa selama beberapa hari untuk menyelesaikan siasatan.

Sementara itu, Turki menafikan bahawa pihaknya menye­rahkan rakaman audio siasatan Jamal di Konsulat Arab Saudi kepada Pompeo.

Akhbar New York Times dalam laporannya pula mendakwa Riyadh berkemungkinan mencari jalan untuk menyelesai krisis diplomatik yang berlaku dengan menjadikan pegawai tertinggi perisikan negara itu, Jeneral Ahmed al-Assiri sebagai kambing hitam kerana beliau rapat dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.

Dalam pada itu, pasukan penyiasat Turki meneruskan siasatan di Belgrade, Turki dengan memeriksa kawasan hutan yang dipercayai menjadi lokasi keratan mayat Jamal dibuang atau dilupuskan.

Sementara itu, empat kumpulan hak asasi dan kebebasan media semalam menggesa Turki supaya memohon kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melakukan siasatan bagi mengelakkan pihak bertanggungjawab terlepas.

Jawatankuasa Perlindu­ngan Wartawan, Human Rights Watch, Amnesty International dan Reporters Without Borders me­negaskan bahawa siasatan yang diluluskan oleh Setiasauaha Agung PBB, Antonio Guterres dilihat boleh menyelesaikan konflik yang berlaku.

Namun, langkah itu mungkin berdepan dengan kesukaran memandangkan AS merupakan ‘penaung terkuat’ Arab Saudi yang berulang kali ‘melindungi’ negara itu daripada pelbagai keraguan berhubung kes kehilangan Jamal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini