AMMAN 26 Okt. – Sekurang-kurangnya 20 orang, kebanyakannya murid dan guru, maut dalam kejadian banjir kilat ketika melakukan aktiviti luar melawat kolam air panas berhampiran Laut Mati dekat sini.
Kakitangan hospital dan anggota penyelamat menyifatkan bencana itu antara yang terburuk dalam negara bagi tempoh beberapa tahun.
Menurut Ketua Polis, Jeneral Brigedier Farid al Sharaa, seramai 34 orang berjaya diselamatkan dalam satu operasi menyelamat besar-besaran membabitkan helikopter polis dan beratus-ratus tentera.
Sesetengah daripada mangsa yang diselamatkan berada dalam keadaan parah.
Kebanyakan kanak-kanak yang terkorban berusia di bawah 14 tahun selain beberapa keluarga yang berkelah di kawasan berkenaan turut menjadi mangsa korban dan cedera.
Beratus-ratus ahli keluarga dan saudara-mara tiba di Hospital Shounah, beberapa kilometer daripada kawasan kejadian bagi mencari maklumat mereka yang hilang akibat bencana tersebut.
Banjir terbabit berlaku susulan hujan lebat, dilaporkan yang pertama selepas berakhirnya musim panas.
Sementara itu, Perdana Menteri, Omar Razzaz berkata, sekolah berkenaan dikatakan telah melanggar arahan oleh Kementerian Pendidikan yang sebelum ini melarang sebarang kegiatan luar di Laut Mati berikutan cuaca buruk.
Beliau turut mengarahkan siasatan dijalankan terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas kecuaian berkenaan.
Tambahnya, anggota pertahanan awam dikerahkan menjalankan operasi mencari mangsa yang dilaporkan hilang.
Dalam pada itu, bapa kepada salah seorang mangsa yang terselamat berkata, seramai 37 murid dan tujuh guru terperangkap dalam sungai ketika banjir kilat melanda kawasan berkenaan.
“Kanak-kanak itu cuba berlari menyelamatkan diri ke arah bas tetapi pintu bas tersebut tertutup.
“Guru cuba menyelamatkan kanak-kanak terbabit tetapi arus deras membuatkan usaha berkenaan menjadi sukar,” katanya.
Jurucakap pertahanan awam, Kapten Iyad al Omar memberitahu, angka korban dijangka terus meningkat. – REUTERS










