NILAI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Karnival Biosimilar 2018 yang berlangsung di Kompleks Inno Biologics di sini, hari ini.
Karnival selama dua hari bertemakan `Mewujudkan Kesedaran Masyarakat ke Arah Inisiatif Peningkatan Taraf Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat’, dianjurkan oleh sebuah syarikat milik kerajaan, Inno Bio Ventures Sdn. Bhd. (InnoBio).
Wan Azizah dalam ucapannya berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk mencegah penularan penyakit kanser dalam kalangan rakyat negara ini melalui Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Program Kawalan Kanser (2016-2020).
Menurut beliau, bidang tumpuan dalam program tersebut meliputi pendidikan dan pencegahan kesihatan; pemeriksaan kesihatan dan pengesanan awal; penyelidikan perubatan, pemulihan serta penjagaan paliatif.
“Program yang dianjurkan oleh InnoBio adalah penting dalam menyokong usaha dan komitmen kerajaan untuk mencapai matlamat ini,” katanya.
Biosimilar adalah produk perubatan biologi yang hampir sama dengan produk asal yang dihasilkan oleh syarikat yang berbeza.
Sementara itu, Pengerusi InnoBio, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, InnoBio yang ditubuhkan sejak 16 tahun lalu merupakan idea bernas Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tambahnya, objektif utama penubuhan InnoBio adalah untuk menghasil dan mengeluarkan produk biologi tempatan yang membantu memacu perniagaan berasaskan biofarmaseutikal dan pertumbuhan ekonomi negara. – K! ONLINE










