SEREMBAN 29 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini merasmikan Karnival Biosimilar 2018 yang diadakan di Kompleks Inno Biologics di Nilai dekat sini.
Bertemakan ‘Mewujudkan Kesedaran Masyarakat ke Arah Inisiatif Peningkatan Taraf Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat’, karnival selama dua hari itu dianjurkan oleh sebuah syarikat milik kerajaan, Inno Bio Ventures Sdn. Bhd. (InnoBio).
Dalam ucapannya, Dr. Wan Azizah berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk mencegah penularan penyakit kanser dalam kalangan rakyat negara ini melalui Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Program Kawalan Kanser (2016-2020).
“Bidang tumpuan dalam program ini meliputi pendidikan dan pencegahan kesihatan; pemeriksaan kesihatan dan pengesanan awal; penyelidikan perubatan, pemulihan dan penjagaan paliatif.
“Oleh itu, program yang dianjurkan oleh InnoBio adalah penting dalam menyokong usaha dan komitmen kerajaan untuk mencapai matlamat ini,” katanya.
Biosimilar adalah produk perubatan biologi yang hampir sama dengan produk asal dihasilkan oleh syarikat yang berbeza.
Sementara itu, Pengerusi InnoBio, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, InnoBio yang ditubuhkan pada tahun 2002 merupakan idea bernas Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Katanya, objektif utama penubuhan InnoBio adalah untuk menghasil dan mengeluarkan produk biologi tempatan yang membantu memacu perniagaan berasaskan biofarmaseutikal dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Versi biosimilar bagi jenama sedia ada yang mahal di pasaran akan dijadikan mampu milik untuk rakyat Malaysia. Ia akan memberikan penjimatan besar kepada pesakit, pembayar cukai, penyedia insurans dan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










