SEJAK kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Rush memasuki pasaran 10 tahun yang lalu sebanyak 18,000 buah telah terjual di seluruh Malaysia. Pada awalnya model tersebut direka untuk menjadi praktikal serta tahan lasak dalam apa jua bentuk muka bumi, tetapi kini telah ditambah baik dalam pelbagai aspek luaran dan dalaman bagi menepati keperluan pengguna yang sentiasa berubah.
Minggu lalu, penulis telah menghadiri majlis pelancaran Rush serba baharu dan berpeluang memandu uji varian S di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.
Transformasi
Rush serba baharu masih mengekalkan imej sebuah SUV bandar dengan pendekatan gaya hidup aktif dan lasak menerusi gabungan keselesaan sebuah kereta dengan keluasan ruang serta posisi kenderaan yang lebih tinggi.
Pada awalnya disangkakan Rush generasi kedua tidak ada bezanya dengan generasi terdahulu, namun ternyata meleset. Rush serba baharu menampilkan rekaan luar yang segar, sporty dan memiliki identiti sama seperti model-model baharu Toyota yang menonjolkan garisan sisi dinamik.
Fizikalnya sahaja sudah berbeza dengan imej dan garis badan yang lebih tajam dikenali sebagai R-Blade. Rekaan lampu hadapan smoke yang kecil dan tirus serta dipadankan dengan jeriji krom gelap menyerlahkan gayanya yang maskulin.
Lampu hadapan menggunakan diod pemancar cahaya (LED) dengan fungsi automatik, lampu belakang LED dan lampu kabus. Tidak keterlaluan jika penulis mengatakan bahawa sekali pandang rekaan belakang Rush serba baharu seolah-oleh seperti melihat sebuah mini Fortuner.
Ruang dalaman menggabungkan tiga elemen warna iaitu hitam, plat krom perak dan coklat cerah yang memberikan rasa premium dan sofistikated kepada pemilik. Stereng, tempat duduk dan tombol gear menerima kemasan kulit, namun brek tangan hanya biasa-biasa sahaja tiada elemen istimewa diberikan.
Reka letak tempat duduk 2-3-2 memberikan keselesaan di bahagian tengah dan belakang, namun individu dewasa perlu mempertimbangkan untuk duduk di baris ketiga kerana jarak kelegaan kaki yang terlalu kecil. Kerusi di baris kedua dan ketiga mudah dilipat dengan ruang kargo boleh ditingkatkan daripada 217 liter kepada 514 liter.
Rush dilengkapi dengan sistem audio DVD-AVX dengan skrin sentuh 6.8 inci. Bagaimanapun, skrin tersebut kelihatan terlalu kecil jika dibandingkan dengan keluasan kabin. Empat buah kamera yang terletak di sekeliling kenderaan bukan dalam definisi tinggi (HD) menyebabkan imej yang dipaparkan kurang jelas.
Prestasi
Toyota Rush ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter DOHC 16 injap dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan yang mampu menjana kuasa maksimum 105 PS pada 6,000 rpm dan kuasa kilas 136 Nm pada 4,200 rpm. Semasa memandu di jalan raya pecutan jentera ini begitu lancar dan mudah dikawal dengan stereng berkuasa elektrik (EPS). Bunyi yang memasuki ruang kabin juga adalah minimum.
Radius pusingan pada jarak 5.2 meter sangat membantu ketika membuat pusingan u. Ketika di selekoh kelajuan perlu dikurangkan bagi memberikan kawalan yang lebih stabil memandangkan Rush serba baharu memiliki titik graviti yang tinggi.
Ciri-ciri bantuan pemanduan seperti Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Pemantauan Titik Buta (BSM) sangat membantu terutama ketika berada di jalan yang sibuk. Sistem Pra-pelanggaran (PCS) pula mengurangkan kemalangan pada kelajuan rendah di bawah 30 kilometer sejam (km/j) dengan tiga kali penggunaan sebelum fungsinya dimatikan secara automatik.
Semasa memandu di laluan off road yang tidak terlalu ekstrem jentera ini dapat mengatasi halangan dengan mudah termasuk laluan berbatu, lopak air dan jalan yang tidak rata dibantu sistem pacuan roda belakang. Sebagai sebuah SUV kedudukan posisi kenderaan yang tinggi memberikan kelebihan di pelbagai permukaan jalan di samping cengkaman yang lebih mantap ketika mendaki dan membawa bebanan berat.
Pakej
Rush ini diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) dengan kadar penggunaan minyak adalah 15.6 kilometer bagi setiap liter. Aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan oleh Toyota dengan Rush dilengkapi memiliki enam beg udara SRS dan mendapat penarafan ASEAN NCAP lima bintang.
Rush ini didatangkan dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan. Boleh didapati dalam dua varian iaitu 1.5G dan 1.5S masing-masing berharga RM93,000 dan RM98,000 sebuah dengan lima pilihan warna iaitu putih, perak metalik, kelabu gelap, biru metalik dan hijau gelap.
Sekiranya anda mencari sebuah SUV yang dilengkapi dengan ciri-ciri moden Toyota Rush ini adalah jawapannya. Rekaan luaran dan dalaman yang segar, imej maskulin, bantuan pemanduan yang dipertingkat dan diiktiraf sebagai EEV merupakan faktor penting yang harus diambil kira.









