Tolak-menolak di pemilihan PKR Cabang Hulu Langat - Utusan Malaysia

Tolak-menolak di pemilihan PKR Cabang Hulu Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Insiden tolak-menolak berlaku dalam kalangan pengundi pada Pemilihan PKR Cabang Hulu Langat di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru, Semenyih, dekat sini tengah hari ini.

Kebanyakan pengundi tidak berpuas hati kerana terpaksa menunggu terlalu lama giliran masing-masing untuk mengundi.

Malah, ramai yang mengeluh kerana terpaksa berdiri terlalu lama iaitu kira-kira setengah jam di bawah panas terik matahari sebelum pintu pagar sekolah dibuka sepenuhnya pada kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Ketegangan juga berlaku seketika apabila para pengundi dihalang untuk merempuh masuk dewan mengundi oleh pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sejumlah 11,858 ahli PKR di sini layak mengundi yang merupakan satu daripada enam cabang yang membuat pengundian hari ini.

Lima cabang lagi adalah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan dan Shah Alam yang secara keseluruhan mempunyai lebih 61,000 ahli.

Ini adalah fasa terakhir proses pemilihan PKR peringkat Selangor daripada 22 cabang di negeri Selangor.

Untuk rekod, Selangor mempunyai keahlian paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN