Tolak lompat parti, DAP hipokrit - Utusan Malaysia

Tolak lompat parti, DAP hipokrit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 29 Okt. – Kenyataan pemimpin DAP yang kononnya menolak perbuatan lompat parti membuktikan mereka adalah sebuah parti yang paling hipokrit dan penuh kepura-puraan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, sikap DAP dapat dilihat sehari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu apabila DAP menjadi parti yang paling aktif memujuk wakil rakyat daripada UMNO supaya keluar parti dan menyertai mereka bagi membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak.

Malah beliau berkata, beberapa pemimpin DAP Perak ketika itu juga diibaratkan umpama lipas kudung dalam memujuk wakil-wakil rakyat dengan menawarkan sejumlah wang yang lumayan untuk melompat ke parti tersebut.

“Perbuatan DAP di Perak itu bukan sahaja satu amalan tidak sihat malah lebih jijik dan kotor kerana cuba melakukan perbuatan rasuah terhadap wakil rakyat UMNO.

“Tidak perlu tempoh enam bulan, dalam tempoh sehari pun DAP ibarat cacing kepanasan mahu membentuk kerajaan negeri dengan melakukan amalan tidak sihat dan tiada maruah itu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Media semalam melaporkan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai mendakwa parti tersebut tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) menerima Ahli Parlimen UMNO yang mahu melompat parti.

Beliau semasa berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan 2018 di ibu pejabat DAP, menyifatkan tindakan menerima Ahli Parlimen UMNO itu adalah amalan tidak sihat tambahan lagi usia kerajaan PH belum pun menjangkau enam bulan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN