KUALA LUMPUR 26 Okt. – Selepas hanya kira-kira sebulan mengumumkan meninggalkan UMNO, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dijangka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam masa terdekat.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan penyokongnya di peringkat akar umbi bagi memberi penjelasan berhubung keputusan berkenaan.
Utusan Online difahamkan penyertaan Mustapa atau Tok Pa itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, malam ini.
Kemasukan Mustapa ke dalam parti tersebut dikatakan mendapat restu Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tindakan beliau akan membolehkan Bersatu memiliki 14 ahli Parlimen berbanding 13 orang sebelum ini.
Selain itu, Mustapa juga menjadi bekas pemimpin UMNO pertama bertaraf ahli Parlimen menyertai Bersatu.
Ketika dihubungi, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu enggan mengulas perkara tersebut.
“Tiada apa-apa. Maaf saya sedang bersama dengan keluarga ketika ini,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE










