ISKANDAR PUTERI 28 Okt. – Seramai 150 kakitangan Pasukan Pengurusan Bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri sedia menghadapi gangguan bekalan elektrik dalam musim tengkujuh ini.
Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Baderul Sham Saad berkata, beberapa langkah proaktif juga sudah diambil khususnya di beberapa kawasan yang sebelum ini kerap mengalami banjir.
Menurut beliau, TNB negeri ketika ini sudah mengenal pasti lebih 20 kawasan yang selalu dilanda banjir kilat membabitkan kesemua daerah dalam negeri ini.
“Seramai 150 kakitangan TNB daripada Pasukan Pengurusan Bekalan akan bersedia 24 jam bagi menghadapi sebarang masalah berkaitan bekalan elektrik di negeri ini.
“Persediaan pasukan ini turut melibatkan pulau-pulau yang terdapat dalam Johor,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah program Treasure Hunt TNB Bersama Kelab Media Johor (KMJ) di sini semalam.
Yang turut hadir, Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak.
Pihaknya turut menasihatkan pengguna untuk memastikan sebarang peralatan elektrik diletakkan di kawasan yang tidak mudah terdedah dengan air.
“Pengguna dinasihati untuk menjauhkan punca elektrik dan wayar yang terdedah daripada air, lebih-lebih lagi ketika dalam keadaan banjir,” ujarnya.
Katanya, kerjasama orang ramai juga dimohon untuk melaporkan kepada TNB sekiranya terlihat mana-mana kotak bekalan TNB yang terdedah kepada air untuk diambil tindakan segera.










