JOHOR BAHRU 31 Okt. – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan merasmikan sistem permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di Terminal Larkin Sentral di sini sebentar tadi.
Pada majlis sama, Tunku Ismail turut menyempurnakan perasmian pejabat urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
Azmi berkata, sistem itu dilancarkan bertujuan untuk memastikan pemilihan senarai pemohon RIBJ yang telah dilancarkan pada 22 Mac tahun lalu disasarkan kepada mereka yang layak dan memenuhi kriteria ditetapkan.
“Pada hari ini, kita lancarkan satu sistem saringan online bertujuan meminta mereka yang pernah memohon sebelum ini untuk mengemas kini maklumat diperlukan bagi proses selanjutnya, ia setelah yayasan membuat saringan awal,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.
Tambahnya, akses ke sistem permohonan RIBJ itu dibuka bermula hari ini hingga 7 November 2018.
Azmi berkata, projek RIBJ di Bandar Baru Majidee membabitkan 320 unit rumah berharga RM150,000 ke bawah dijangka siapa pada hujung tahun depan manakala RIBJ di Bandar Dato’ Onn membabitkan pembinaan 488 unit berharga RM85,000 hingga RM100,000 dijangka siap pada 2020. – UTUSAN ONLINE










