JOHOR BAHRU 21 Okt. – Kerajaan negeri menyarankan agar peranan dan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor pendidikan ditingkatkan bagi mengintegrasikan inisiatif rendah karbon dan teknologi hijau.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, peranan dan kerjasama antara kedua-dua belah pihak itu boleh dijalinkan antaranya menerusi perkongsian idea, tenaga dan usahasama.
“Saya menyarankan agar peranan dan jalinan kerjasama di antara PBT dan sektor pendidikan ditingkatkan daripada sudut idea, tenaga dan usaha bagi mengintegrasikan inisiatif rendah karbon dan teknologi hijau dalam perancangan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mampan.
“Pada masa yang sama, saya melihat usaha ke arah perbandaran hijau merupakan usaha bersama, di mana setiap individu, masyarakat dan institusi memainkan peranan utama untuk sama-sama menterjemah dasar dan strategi, mengguna pakai garis panduan serta melaksana program dan aktiviti yang dirancang,” katanya ketika berucap merasmikan seminar Iskandar Malaysia Towards Low Carbon Society 2018 di sini hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud.
Hong Pin berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya program Zero Waste Lifestyle yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan kerjasama universiti-universiti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.









